KENANGAN ZAMAN PERSEKOLAHKU….
Mengimbas kembali zaman
persekolahan adalah suatu detik masa yang sungguh menyeronokkan. Tidak dapat
digambarkan bagaimana perasaan ketika zaman tersebut. Pada ketika itu, kita
tidak perlu memikirkan hal perbelanjaan, keperluan dan sebagainya (seperti
tanggungjawab sekarang) namun fokus dan tumpuan kita hanya kepada pelajaran.
Saya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Imam Tawau dari
darjah satu sehingga darjah enam. Sepanjang tempoh persekolahan di sekolah
rendah selama enam tahun, banyak kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Ceritanya begini, saya merupakan seorang pelajar yang aktif acara kokurikulum
peringkat sekolah dan daerah. Pelbagai pertandingan telah saya sertai,
antaranya pertandingan pidato, menyanyi, bercerita, syarahan dan bersukan. Bagi
saya aktiviti ini sememangnya banyak memberikan peluang kepada saya untuk
menunjuk sedikit bakat yang ada pada diri saya. Selain daripada bakat, ianya
juga mendidik seseorang pelajar untuk menjadi seorang yang berani menyahut
cabaran dan yang paling penting adalah memupuk sikap yakin diri. Dalam banyak
pertandingan yang saya sertai, kenangan paling indah adalah sewaktu mengikuti
pertandingan deklamasi puisi peringkat sekolah. Pertandingan ini diadakan sempena
sambutan hari kemerdekaan dan peserta wajib untuk mendeklamasikan puisi berkaitan
tokoh ataupun sejarah kemerdekaan negara. Saya tahu, untuk menjadi seorang
juara dan pemenang, pelbagai aspek perlu diambil kira. Contohnya dari segi
persembahan, kelancaran, penghayatan dan juga kreativiti. Maka atas dasar itu,
saya telah membuat latihan secara intensif bagi melayakkan saya bergelar
sebagai juara. Latihan secara teratur selama 2 minggu bagi menyediakan diri
selengkapnya dengan suasana pertandingan. Ketika di hari pertandingan, saya
membawakan puisi yang bertajuk “Matinya Seorang Pahlawan” dengan diiringi alunan
muzik yang cukup mempersonakan. Keadaan dewan agak sunyi seketika, juruteknikal
memainkan muzik iringan saya bertajuk “only you” instrumental – saya membacakan
bait-bait rangkap puisi dengan penuh perasaan.
gambar hiasan |
Dalam bait-bait rangkap puisi
cukup menyentuh hati nurani saya sehinggakan tanpa disedari saya mengalirkan
air mata dek kerana terlalu menjiwai serta dibuai dengan alunan muzik yang meruntun
kalbu. Dalam keadaan yang sedih, saya masih sempat untuk melihat riaksi juri
dan penonton. Apa yang cukup mengharukan adalah juri dan penonton turut sama
merasai jiwa dan penghayatan puisi yang saya sampaikan. Kelihatan juri
perempuan dan penonoton yang berada di barisan hadapan cukup terkesan dengan
penyampaian saya. Pada saat dan ketika itu, bukan lagi gelaran juara yang saya
harapkan, tetapi apa yang lebih utama adalah menyampaikan mesej yang terdapat
dalam bait-bait puisi “Matinya Seorang Pejuang”. Puisi tersebut mengisahkan
tentang semangat seorang wira demi memperjuang maruah dan kedaulatan tanah air
yang tercinta sehingga ke titisan darah yang terakhir. Dalam memperjuangkan
maruah Negara, beliau telah diseksa dan
diperlakukan seperti binatang orang tentera komunis namun beliau tidak pernah
berputus asa dan sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, mata kepala beliau
menjadi saksi akan seksaan dan hukuman yang dikenakan terhadap ibunda dan
isteri yang tercinta sehinggakan mereka terkorban sama. Alangkah kejamnya
tentera komunis dalam usaha mereka untuk menjajah Tanah Melayu. Pada hari ini,
kita telah mengecapi nikmat keamanan hasil daripada pejuang-pejuang bangsa
terdahulu dan kita sebagai rakyat yang mewarisi kesejahteraan ini kita seharusnya
menghargai semangat dan perjuangan pahlawan terdahulu yang sanggup bergadai
nyawa semata-mata untuk mempertahankan maruah tanah air yang kita cintai. Semua
itu tidak menjadi ukuran kerana bagi mereka kesusahan mereka lalui dahulu kala
adalah demi kesejahteraan waris anak bangsa hari ini.
Memang benar kata orang
bahawa masa itu akan membawa perubahan pada diri kita, namun percayalah memori
indah itu tidak akan pernah padam dalam ingatan aku melainkan Allah SWT menarik
semula ingatan aku..