KENANGAN PERCUTIANKU..
Sewaktu cuti hujung minggu lepas,
saya bersama dengan kawan-kawan (Mohd Ali, Aryanah dan Haszuriana) telah
bercuti di pulau Omadal, Semporna. Walaupun percutian kami amat singkat namun
segala kenangan yang tersemat amat memikat. Kami bertolak dari Bandar Tawau
sekitar pukul 8.00pagi dan tiba di pekan Semporna selepas satu jam tiga puluh
minit dalam perjalanan. Walaupun perjalanan agak jauh namun bagi kami waktu amat singkat kerana banyak perkara menarik dan lucu yang kami
sembangkan di sepanjang pejalanan. Kemungkinan juga didorong oleh kesibukan dan kekangan kerja masing-masing menyebabkan kami rancak bersembang.
Sekitar pukul 9.45 pagi kami selamat tiba di pekan Semporna dan sebelum berangkat menuju ke Pulau Omadal, kami sempat singgah sebentar di Warung Igal-Igal untuk menikmati sarapan pagi. Juadah yang kami makan adalah mee goreng ayam dan sirap bandung. Sebelum saya bercerita lebih lanjut, baik kiranya saya menerangkan serba sedikit latar belakang pulau ini Untuk pengetahuan semua, pulau Omadal merupakan sebuah pulau penempatan asli bagi bangsa bajau dan juga bajau laut. Kegiatan ekonomi mereka adalah menangkap hasil laut dan dijual kepada penduduk kampung dan selebihnya dijual di pasar pekan Semporna. Selain itu kemudahan pengangkutan pula hanyalah perahu atau bot sewa yang boleh menghubungkan tanah besar (pekan semporna) dengan pulau tersebut.
Setelah selasai mengalas perut,
kami bersedia untuk meneruskan perjalanan ke pulau tersebut dengan menaiki “pasinjil”
dalam bahasa bajau Semporna atau lebih dikenali dengan nama perahu penambang.
Kadar sewa yang dibayar adalah sebanyak RM20 sehala. Pengalaman duduk di dalam “Pasinjil”
amat asing bagi saya ditambah lagi dengan perasaan takut yang menyelubungi
(kerana perlu menyeberangi lautan biru dengan keadaan yang tidak tahu berenang)
merupakan satu pengalam yang cukup besar nilainya. Sepanjang menyeberangi
lautan biru, saya sempat melihat keindahan dasar laut yang sungguh
cantik dan memukau sesiapa sahaja yang berkunjung. Inilah detik yang tidak
dapat diungkapkan dengan kata-kata, hanya mampu mengucap rasa syukur dan
mengagumi ciptaan tuhan yang maha Esa. Perjalanan tersebut mengambil masa
selama 20 minit dan tiba di jambatan Pulau Omadal sekitar jam 10.15 pagi. Sesungguhnya kedatangan kami disambut baik oleh penduduk setempat dan kami
sempat mengabadikan kenangan indah bersama-sama dengan penduduk
setempat yang sememangnya peramah dan baik hati.
Kunjungan kami di pulau tersebut
adalah atas cadangan Aryanah yang mana kawan tempat dia bertugas merupakan anak
jati Pulau tersebut dan kami berpeluang untuk merehatkan diri seketika di rumah
beliau (kak kiah). Kedudukan rumah kak kiah terletak betul-betul di pinggir
pantai dan pemandangan sekeliling amat menakjubkan. Pasir pantai yang putih,
deruan ombak yang silih berganti amat mendamaikan. Saya rasa inilah percutian
singkat yang sungguh mengasyikkan.
Menjelang waktu tengah hari, kami
bersedia untuk menyediakan hidangan makan tengah hari. Apa yang istimewanya
adalah, hidangan ikan merah yang kami masak adalah ikan segar yang baharu
sahaja ditangkap sekitar pulau tersebut. Selain itu, terdapat juga sesiput lain
yang dihidang sama dan sayur ulam-ulaman yang dipetik dari kawasan kebun
berdekatan. Juadah makan tengah hari kami sangat menyelerakan ditambah lagi
dengan sambal belacan yang disediakan oleh kak kiah. Untuk pengetahuan pembaca semua, kak kiah ni memang terkenal dengan bakat untuk membuat sambal belacan yang lazat...nyaman...
Selepas menjamah hidangan tengah
hari, kami berehat seketika dan duduk di beranda rumah sambil menghirup udara
segar. Ketika itu, kami melihat sekeliling dan ternyata pulau tersebut sungguh
aman dan damai. Pokok kelapa tumbuh merata dan tidak ada sesiapa berkira kerana
bagi mereka itu adalah hak kita bersama. Sungguh ironinya kehidupan mereka. Walaupun keadaan kelengkapan kemudahan asas masih pada tahap "papa kedana" namun tersisip dalam jiwa mereka tentang rasa kasih dan sayang yang amat mendalam. Mungkin bagi diri mereka itu semua tidak penting, namun cukuplah hanya berdampingan bersama keluarga amat memadai dan begitu mendalam pengertiannya bagi diri mereka.
Lamunan saya terhenti seketika bilamana saya disapa dengan kanak-kanak yang tidak berbaju bermain di halaman rumah kak kiah. Peluang yang ada ini saya tidak persiakan. Saya meminta pertolongan dari kanak-kanak itu untuk menjatuhkan buah kelapa muda untuk diminum bagi melepaskan keinginan yang teramat di jiwa. Bukan bererti di bandar Tawau tidak boleh dapatkan buah kelapa segar, namun keadaan dan suasana amat berbeza bila berada di pulau tersebut. Kami hanya membayar sebanyak RM2.00 sebagai upah kepada mereka. Sungguh cekap mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Di sisi sudut berlainan, kelihatan anak bajau laut tidak fasih berbahasa melayu namun terselit naluri kesopanan dan rasa hormat kepada orang yang berusia daripadanya. Amat terharu dengan amatan ini.
Lamunan saya terhenti seketika bilamana saya disapa dengan kanak-kanak yang tidak berbaju bermain di halaman rumah kak kiah. Peluang yang ada ini saya tidak persiakan. Saya meminta pertolongan dari kanak-kanak itu untuk menjatuhkan buah kelapa muda untuk diminum bagi melepaskan keinginan yang teramat di jiwa. Bukan bererti di bandar Tawau tidak boleh dapatkan buah kelapa segar, namun keadaan dan suasana amat berbeza bila berada di pulau tersebut. Kami hanya membayar sebanyak RM2.00 sebagai upah kepada mereka. Sungguh cekap mereka melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Di sisi sudut berlainan, kelihatan anak bajau laut tidak fasih berbahasa melayu namun terselit naluri kesopanan dan rasa hormat kepada orang yang berusia daripadanya. Amat terharu dengan amatan ini.
Masa yang terluang di waktu
petang kami manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Kami seiring berjalan di tepi pantai
yang terlihat pasir yang berwarna putih melingkari jari jemari kaki lembut menyapa kerana
hempasan badai yang seiring dengan deruan angin. Aduh, sungguh damai dan saat-saat itu tidak kami siakan dan peluang ini sempat kami abadikan sebagai bukti bahawa kami pernah berkungjung di sini. Kami meneruskan lagi perjalanan ke sebuah jambatan usang yang terletak di hujung pulau namun cantik dari segi pemandangannya (menurut pendapat kak kiah).
Setibanya kami di jambatan tersebut, alangkah terpegun dan terpesona mata yang menjadi saksi ini kerana apa yang
dikatakan oleh kak kiah sebelum ini benar belaka. Peluang untuk berjalan dan
menghadap ciptaan tuhan yang tersergam indah ini adalah satu nikmat yang patut
disyukuri. Melihat keindahan laut dan pantai. Laut yang luas membiru, angin yang bertiup sayu mengarahkan ombak ke pantai yang memutih. Betapa tenangnya menyaksikan keindahan ini. Warna alam yang memukau pandangan. Keindahan yang sungguh mengasyikan. Deruan ombak yang mempersonakan. Keunikan hidupan di dalam air masin sungguh menakjubkan. Begitu indah dan sempurna sekali ciptaan mu Ya Ilahi. Keindahan yang menginsafkan diri akan kekurangan diri. Banyak gambar-gambar indah yang kami abadikan sepanjang berada di
jambatan tersebut dan setiba di hujung jambatan kami mengambil peluang untuk
membasahkan badan dan berenang di sekitarnya. Air laut yang suam-suam kuku dan pengalaman dapat memijak pasir di dasar laut dan saat memegang sendiri tapak sulaiman yang
berada di sekitar kawasan tempat kami berenang merupakan memori indah yang pasti tidak akan berulang. Spesis tapak sulaiman yang pelbagai warna dan saiz cukup mempersonakan.
Setelah penat berendam, kami menuju balik ke rumah kak kiah untuk membersihkan badan dan juga bersiap untuk terus pulang ke Tawau.
Setelah penat berendam, kami menuju balik ke rumah kak kiah untuk membersihkan badan dan juga bersiap untuk terus pulang ke Tawau.
Sebelum berangkat meninggalkan
rumah kak kiah, kami sempat dihidangkan minum petang berserta kuih “penyaram”.
Kuih Penyaram adalah kuih tradisional bangsa bajau dan dihidangkan untuk tetamu
yang hadir. Sungguh terharu dengan setiap layanan yang diberikan oleh keluarga
kak kiah termasuk seluruh penduduk pulau Omadal yang tidak jemu untuk melayan
karenah kami. Insyaallah jika ada kelapangan masa, kami pasti akan kembali
lagi. Kami selamat sampai di Tawau pada pukul 9.35 malam.
Setakat ini sahaja kisah
percutian singkat namun member nikmatyang teramat untuk kami semua. Berjumpa
kita lagi dicoretak kisah akan datang..amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan